Setiap tempat punya cerita sendiri, tak kira manis, pahit dan ngeri.
Apa yang pasti nama tempat biasanya ada kaitan dengan sejarah atau budaya orang sekeliling.
Tapi, kalau kita cakap pasal Kampung Pecah Kulit di Jakarta Barat, apa sebenar cerita ngeri di sebalik nama yang membuat orang tertanya-tanya ni?
Sejarah yang buat bulu roma meremang
Nama ‘Kampung Pecah Kulit’ mungkin buat kita rasa biasa je, tapi bila dah tahu cerita sebenarnya, confirm terkejut.
Cerita orang lama, nama ‘Kampung Pecah Kulit’ ni ada kaitan dengan peristiwa seram masa zaman penjajahan Belanda di Indonesia.
Katanya, kampung ni tempat jatuhnya hukuman untuk orang jahat yang melawan kekuasaan penjajah, dan cara hukumannya buat kita meremang bulu beb!
Salah satu hukumannya, kulit badan orang jahat tu pecah – bayangkan betapa ngerinya! Dahsyat kan?
Artikel bawah ini akan bawa korang menjelajahi cerita sejarah di sebalik nama kampung ini, yang pasti akan membuatmu terkejut dan rasa ngeri. Jom!
Diskriminasi terhadap penduduk Asli & Orang Indo oleh Belanda & VOC
Pada zaman penjajahan Belanda dan Vereenigde Oostindische Compagnie (VOC), diskriminasi sering dialami oleh orang asli dan orang Indo.
Selain menindas penduduk peribumi, mereka juga merampas tanah milik orang Indo, yang berketurunan campuran – orang Eropah dan bukan Eropah.
Salah seorang yang menjadi mangsa ialah Pieter Erberveld.
Pieter Erberveld merupakan seorang lelaki berketurunan Jerman yang berkahwin dengan wanita Jawa (sesetengah sumber mengatakan ibunya berasal dari Siam, Thailand) dan menetap di Batavia.
Pieter mempunyai hubungan yang erat dengan penduduk tempatan di sekitar kejiranannya, termasuk Raden Ateng Kartadria, seorang bangsawan dari Banten yang mempunyai ribuan pengikut.
Pengkhianatan & hukuman mati yang mengerikan
Pada satu ketika, tanah Pieter Erberveld di kawasan Pondok Bambu telah dirampas oleh VOC pada tahun 1708 dengan alasan Pieter tidak mempunyai dokumen pemilikan yang sah.
Pieter cuba menentang, tetapi bantahannya mengakibatkan dia didenda oleh Gabenor Jeneral VOC ketika itu, Joan Van Hoorn.
Pieter dikehendaki membayar 3,300kg beras kepada VOC sebagai denda dan ini membuatkan Pieter Erberveld berdendam terhadap VOC dan mereka yang terlibat.
Dengan dendam yang teramat terhadap VOC, Pieter Erberveld kemudiannya merancang plot dengan sahabatnya, Raden Ateng, untuk menggulingkan pemerintahan VOC di wilayah itu.
Rancangannya jika mereka berjaya, Pieter akan menjadi gabenor dan Raden Ateng akan menjadi patihnya.
Malangnya, rancangannya dibocorkan kerana salah seorang pembantu Pieter mengkhianati tuannya dengan memaklumkan rancangan itu kepada VOC.
Jadi, sebelum konspirasi itu menjadi kenyataan, VOC segera menangkap mereka berdua dan pengikutnya.
Pada April 1722 Pieter Erberveld, Raden Ateng Kartadria dan para simpatisan mereka dijatuhi hukuman mati.
Hukuman mati yang dijatuhkan kepada Pieter adalah salah satu yang paling mengerikan dan disaksikan oleh ramai orang.
Tujuannya ingin mengancam individu berketurunan Eropah atau bukan Eropah agar tidak menyalakan semangat penentangan terhadap VOC.
Cara Pieter dihukum sangat menyeksakan dan kejam. Tangan dan kakinya diikat dengan tali yang disambungkan pada kuda ke empat arah berbeza.
Empat ekor kuda itu kemudiannya diperintahkan untuk berlari sepantas mungkin sehingga badan Pieter diregangkan, lalu pecah kulit dan perutnya.
Daging dan isi perut Pieter yang bertaburan dibiarkan menjadi makanan burung dan binatang liar.
Selain itu, VOC juga membina monumen yang dipenuhi dengan ancaman dan melekatkan tengkorak Pieter di atasnya. Pada tugu itu tertulis ayat berbunyi,
“Catatan, tentang peringatan/amaran [yang] menjijikan pada si jahil terhadap negara yang telah dihukum: Pieter Erberveld. Dilarang, orang mendirikan rumah, bangunan, atau memasang papan kayu, serta bercucuk tanam, di tempat ini, dari sekarang hingga selama-lamanya. Selesai.”
Kepala Pieter yang diletakkan di atas tugu itu kekal di situ untuk beberapa lama sebagai satu bentuk amaran sebelum kedatangan Jepun yang akhirnya “membersihkan” tugu tersebut yang dilambang sebagai kekejaman penjajah masa lalu.
Tinggalan sejarah & replika monumen Pieter Erberveld
Pada masa ini, plat bertulis yang mengandungi ancaman itu dipamerkan di luar bangunan Muzium Sejarah Jakarta (Muzium Fatahillah) dan masih boleh dilihat sehingga kini.
Pada tahun 1970, replika monumen Pieter Erberveld telah dibina semula di lokasi asalnya, lengkap dengan replika tengkorak Pieter yang tergantung di atasnya.
Tapi, pada tahun 1985, monumen replika ini telah dipindahkan ke Muzium Taman Inskripsi Jakarta dan masih boleh ditemui sehingga kini.
Memang betul, nama kampung Pecah Kulit ni jadi peringatan tentang kezaliman penjajahan dan pentingnya bagi kita untuk fahami perjuangan untuk kebebasan dan keadilan.
Sejarah Kampung Pecah Kulit ni kita boleh jadi pengajaran penting tentang kezaliman yang pernah berlaku. So, bila kita dengar nama “Kampung Pecah Kulit”, kita ingatlah sejarah. Adios!
0 comments:
Post a Comment