JODOH tidak mengira rupa, darjat dan umur kerana ia sudah disusun indah oleh Yang Maha Esa. Pasangan hidup seseorang individu itu telah ditentukan dan jurang usia bukan ukuran kebahagiaan dalam sesebuah perkahwinan.
Pensyarah dan Penyelidik Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-Kanak, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Rumaya Juhari berkata, masyarakat tidak boleh meletakkan perkahwinan yang mempunyai jurang usia sangat jauh sebagai perkara negatif sebaliknya perlu mendoakan kebahagiaan pasangan itu.
“Perkahwinan yang berbeza usia (tidak termasuk individu bawah umur) tidak salah di sisi undang-undang dan agama. Maka, masyarakat tidak perlu memberikan reaksi luar biasa kerana mereka mempunyai cerita sendiri sama seperti pasangan lain.
“Soal kebahagiaan dan persefahaman adalah sangat subjektif. Ini kerana, jika diteliti, ramai juga pasangan yang sepadan dan sama usia tidak dapat mempertahankan mahligai yang dibina, lantas mengambil keputusan untuk bercerai,” katanya.
Tambahnya, sebagai pasangan Muslim, hukum-hakam berkaitan tugas, hak dan tanggungjawab suami dan isteri tidak akan berubah hanya kerana jurang usia.
“Pasangan ini memerlukan sokongan daripada keluarga kedua-dua belah pihak, sahabat handai dan masyarakat sekeliling.
“Elak daripada mengungkit isu umur sehingga membuatkan mereka berkecil hati dan tidak selesa, sekali gus mengganggu kebahagiaan pasangan itu,” tuturnya.
Matang
Namun, tidak dinafikan juga, jika berkahwin pada usia terlalu muda dan belum bersedia dari aspek ekonomi, pendidikan dan lain-lain akan memberi beberapa cabaran berkaitan adaptasi alam perkahwinan.
Banyak juga kes perceraian yang dikaitkan dengan kepayahan ekonomi dan faktor kematangan mengurus konflik menjadi punca kepada kehancuran sesuatu perkahwinan itu.
Tegasnya, kebahagiaan perkahwinan tidak ditentukan oleh faktor usia semata-mata sebaliknya terdapat banyak perkara lain yang perlu ditangani dan diurus dengan baik oleh pasangan itu.
Sebagai individu Muslim, mentaati segala yang telah ditetapkan dalam agama, menerima qada dan qadar dengan ikhlas serta komited untuk berusaha ke arah kebaikan adalah dituntut.
Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak, Prof. Madya Dr. Zaiton Hassan berkata, kematangan seseorang individu lelaki ataupun perempuan itu tidak diukur daripada umur.
“Kita tidak boleh melabelkan kematangan berdasarkan usia kerana setiap orang mempunyai tahap kematangan yang berbeza.
“Maka, tidak ada halangan untuk melangsungkan perkahwinan walaupun jarak usia yang jauh. Malah, mereka juga boleh bahagia seperti pasangan lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Ujarnya, lelaki muda lebih tertarik kepada wanita yang berusia dan matang terutamanya individu yang mempunyai anak kerana ia akan menyerlahkan lagi sifat keibuan mereka.
Dalam pada itu, Kosmo! pada 27 Ogos lalu melaporkan seorang suri rumah berusia 40 tahun berkahwin dengan seorang remaja lelaki yang baru berusia 18 tahun.
Selepas beberapa tahun bercerai dan bergelar ibu tunggal, Dayang Sofiah selamat diijabkabulkan dengan pemuda yang kebetulan mempunyai pangkal nama sama sepertinya, Mohd. Sofi Mat Ali di Masjid Beaufort pada 23 Ogos lalu.
Setelah menjadi suami kepada Dayang Sofiah, Mohd. Sofi kini mempunyai lima orang anak tiri dan usia anak sulung hanya dua tahun lebih muda daripadanya.
Mohd. Sofi yang bekerja sebagai buruh dalam sektor pembinaan di Labuan berkenalan Dayang Sofiah sejak Mei lalu ketika mereka bertemu di gelanggang bola tampar.
Sumber: Kosmo
0 comments:
Post a Comment