Puaka Kubur Lama…..Keranda Bergerak Sendiri Di Perkuburan Chase Vault
MAKAM The Chase Vault di Christ Church Parish Church di Christ Church, Barbados tidak pernah surut dengan pengunjung.
Bagaimanapun, pengunjung yang datang ke sini bukanlah mahu menziarahi atau memberikan penghormatan kepada ahli keluarga mereka yang telah mati, sebaliknya untuk melihat sendiri lokasi yang terkenal dengan legenda keranda bergerak sendiri.
Menurut catatan sejarah, perkuburan bawah tanah itu dibina pada tahun 1724 oleh seorang lelaki bernama James Elliot.
Kawasan itu agak luas sehingga mampu memuatkan beberapa buah keranda pada satu-satu masa.
Pintu perkuburan itu pula diperbuat daripada batu marmar yang besar serta berat dan ia akan ditutup rapi dengan simen di sekelilingnya menjadikan ia tidak mudah dibuka sesuka hati.
Setiap kali ada kematian, simen pintu ini akan dikikis terlebih dulu sebelum dapat dibuka untuk memasukkan keranda baharu, kata salah seorang pemandu pelancong, Samuel seperti dipetik portal Atlas Obscura.
THE Chase Vault kini dibiarkan kosong dan hanya dibuka untuk kunjungan pelawat.
Meskipun bersusah payah membina perkuburan itu, Elliot tidak mahu jasadnya disemadikan di situ sehingga menyebabkan kawasan tersebut terbiar kosong sehingga keranda seorang wanita, Thomasina Goddard disimpan di situ pada Julai 1807.
Tidak lama selepas itu, seorang bangsawan, Thomas Chase membeli kawasan perkuburan itu pada 1808 bagi menempatkan keranda anak bongsunya, Mary Ann yang meninggal dunia ketika berusia dua tahun.
Keranda Mary Ann yang diperbuat daripada besi diletakkan bersebelahan keranda kayu Goddard.
Thomas dikatakan tidak mahu mengganggu roh Goddard dan membenarkan kerandanya disimpan bersama ahli keluarga Chase yang lain, tambah Samuel.
Empat tahun kemudian, seorang lagi anak perempuan Thomas, Dorcas, meninggal dunia dan kerandanya diletakkan di sisi keranda Mary Ann.
Dorcas dipercayai mati bunuh diri dengan membiarkan dirinya dalam keadaan lapar gara-gara tidak tahan dengan sikap bapanya yang terlalu kejam terhadap golongan hamba.
Pada bulan Ogos 1812, hanya selepas sebulan kematian Dorcas, Thomas akhirnya meninggal dunia akibat bunuh diri.
Mayatnya diletakkan di dalam sebuah keranda besi yang sangat berat. Dikatakan, keranda Thomas memiliki berat 100 kilogram dan memerlukan tenaga lapan orang lelaki dewasa untuk membawanya ke bawah tanah.
Di sinilah bermulanya rentetan misteri perkuburan The Chase Vault. Ahli keluarga Chase terkejut apabila mendapati keranda di dalam perkuburan itu berubah kedudukannya.
Keranda Mary Ann dan kakaknya ditemui dalam keadaan tersandar pada dinding selain berada dalam kedudukan terbalik. Hanya keranda kayu Goddard yang masih tetap pada kedudukan asal.
Keluarga Chase begitu marah kerana menyangka ada pencuri masuk ke perkuburan tersebut, namun apabila diperiksa, tiada barang yang hilang. Mayat mereka berada dalam keadaan baik, kata Samuel.
Semua keranda itu disusun kembali seperti posisi asal, termasuk keranda Thomas selain pintunya dikunci dengan lebih rapat supaya insiden itu tidak berulang pada masa hadapan.
Kejadian aneh itu bagaimanapun berlaku sekali lagi pada tahun 1816 apabila perkuburan tersebut dibuka untuk menempatkan keranda salah seorang ahli keluarga, Charles Brewster Ames.
Tiada jejak
ADA cakap-cakap yang mengatakan keranda di dalam The Chase Vault bergerak sendiri kerana roh-rohnya bertelingkah sesama sendiri.
Menurut Samuel, semua keranda tersebut berubah kedudukan daripada posisi asal termasuklah keranda berat milik Thomas.
Tiga tahun kemudian, The Chase Vault dibuka untuk menempatkan keranda Thomasina Clark.
Sama seperti sebelumnya, posisi semua keranda di dalam perkuburan bawah tanah itu beralih kedudukan kecuali keranda Goddard.
Misteri kejadian keranda bergerak sendiri itu menarik perhatian Gabenor Barbados ketika itu, Viscount Combermere, Stapleton Cotton.
Dia lantas mengarahkan siasatan lanjut dilakukan secara menyeluruh bagi mencari bukti yang dapat menjadi petunjuk kepada kejadian aneh itu. Pun begitu, tiada sebarang bukti ditemui.
Tiada tanda menunjukkan ada orang memecah masuk ke dalamnya, tiada laluan rahsia dan tiada kesan jejak manusia, cerita Samuel.
Selepas diperiksa, peti keranda itu disusun semula berdasarkan kedudukan asal dan langkah-langkah keselamatan dipertingkatkan untuk mengesan dalang di sebalik kejadian itu.
Lantai perkuburan ini ditabur dengan pasir halus berwarna putih. Jika pasir itu terusik, mungkin ada orang memecah masuk ke dalamnya, kata Samuel.
Lapan bulan kemudian, The Chase Vault dibuka atas arahan Cotton bagi melihat sendiri keadaan di dalam makam tersebut.
Sekali lagi misteri yang sama berlaku apabila semua keranda ditemui dalam keadaan tidak tersusun.
Lebih menyeramkan, pasir yang ditabur juga tidak terusik sama sekali, malah tiada satu pun kesan tapak kaki ditemui.
Ada cakap-cakap yang mengatakan kejadian itu mungkin disebabkan gempa bumi, namun perkara itu disangkal penduduk setempat sementelah tiada kejadian bencana alam dilaporkan berlaku di Barbados sepanjang tempoh itu.
Bagi menamatkan misteri kepada kejadian itu, Cotton mengarahkan, agar semua keranda di dalam The Chase Vault dibawa keluar dan disemadikan di tempat lain secara berasingan.
Perkuburan itu juga diarah supaya dikosongkan dan tiada mayat dibenarkan ditanam mahupun ditempatkan di dalamnya.
Meskipun tiada lagi kejadian aneh di The Chase Vault, namun misteri itu masih menjadi buah mulut dalam kalangan penduduk setempat sehingga ke hari ini.
Sumber: penhijaudaun
–> Klik jika rasa post ini patut dibuang
Artikel ini hanyalah perkongsian dari pelbagai website dan blog. Sekiranya perkongsian artikel yang dilaporkan disalahertikan kami tidak akan bertanggungjawab. Terima Kasih






0 comments:
Post a Comment