Beberapa tahun selepas Perang Dunia Ke-2, Parti Komunis China di bawah pimpinan Mao Zedong, telah berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara setelah menewaskan dan menghalau pihak nasionalis, Parti Kuomintang, dari Tanah Besar China di dalam perang saudara yang berakhir pada tahun 1949.
Namun China pada ketika itu berdepan satu permasalahan yang memerlukan penyelesaian kritikal, iaitu penyakit. Peperangan demi peperangan telah menyebabkan penularan wabak penyakit. Ia telah menjadi duri dalam daging, seterusnya melumpuhkan lagi sebuah negara yang ‘cedera’ selepas peperangan.
Antara penyakit yang melanda China pada waktu itu adalah seperti berikut:
- Tuberkulosis yang disebabkan bakteria Mycobacterium tuberculosis.
- Wabak tifus yang dibawa oleh kutu tikus.
- Wabak tifoid yang dibawa lalat.
- Malaria yang disebarkan nyamuk
- Taun yang disebabkan pencemaran sumber air oleh bakteria Vibrio cholera
- Smallpox
- Parasit Hookworm
Selain dari penyakit yang disenaraikan di atas, telah dianggarkan bahawa, 10.5 juta penduduk China pada waktu itu turut menghidap sejenis penyakit yang menjangkiti hati (liver), iaitu schistosomiasis. Penyakit ini adalah disebabkan oleh jangkitan cacing parasit (blood fluke) dari genera Schistosoma, yang tersebar melalui air yang tercemar.
Penyakit-penyakit ini, telah menjadi punca kepada kematian ribuan manusia pada satu-satu masa. Malah, taun sahaja dikhabarkan membunuh puluhan ribu penduduk China pada tahun-tahun tertentu.
Dan pada masa yang sama, kematian bayi meningkat dengan sangat mendadak. Menurut anggaran, kira-kira 300 daripada 1000 bayi yang baru lahir telah mati akibat penyakit.
Kerajaan Komunis China kemudian mengetengahkan beberapa langkah penyelesaian, antaranya:
- Memulakan kempen vaksinasi secara besar-besaran bagi membendung wabak smallpox di seluruh negara. Dalam kempen tersebut, lebih daripada 300 juta penduduk China telah menerima suntikan vaksin.
- Membina dan menyediakan infrastruktur sanitasi, menyediakan bekalan air bersih dan fasiliti pembuangan sisa-sisa sampah di seluruh negara yang lebih teratur.
- Merekrut individu untuk menjadi petugas kesihatan, seterusnya memudahkan diagnosis dan rawatan asas, khususnya bagi penduduk luar bandar.
Walau bagaimanapun, program imunisasi dan kempen kebersihan serta kehadiran petugas kesihatan, hanya berkesan pada sebahagian tahap sahaja. Satu penyelesaian yang lebih konkrit diperlukan. Dalam erti kata lain, ‘punca’ kepada permasalahan ini perlu lah diuruskan secara total.
Dasar Great Leap Forward
Bermula dari tahun 1958, Mao Zedong telah menggerakkan satu dasar negara, dikenali sebagai “Great Leap Forward”.
Kalau di negara kita Malaysia, ia mungkin boleh diibaratkan sama seperti “Dasar Ekonomi Baru” dilancarkan oleh Tun Abdul Razak.
Dasar ini adalah satu usaha mentransformasi China dari sebuah negara agrarian, yang mana ekonomi nya bertulang-belakangkan aktiviti pertanian, kepada negara perindustrian dan pembuatan yang maju serta berdaya saing.
Bagaimanapun, aktiviti pertanian tidaklah diabaikan sepenuhnya. Ia cuma ‘ditambah baik’ dari pertanian secara persendirian, kepada pertanian di bawah kawalan negara (state controlled). Satu harga yang perlu dibayar penduduk China dalam transformasi ke arah sistem komunis.
Ada beberapa perkara yang dilakukan serta pembaharuan polisi pertanian dilaksanakan oleh kerajaan China bagi mencapai matlamat di dalam Dasar Great Leap Forward. Namun, saya cuma ingin memfokuskan pandangan anda semua kepada salah satu daripada perkara tersebut iaitu, sebuah kempen pengapusan haiwan dan serangga perosak
- Bagi individu yang ingin tahu lebih lanjut dan mendalam berkenaan dasar Great Leap Forward ini, boleh rujuk sebuah buku berjudul;
“Mao’s War Against Nature: Politics and the Environment in Revolutionary China” tulisan Judith Rae Shapiro (2001).
The Four Pests Campaign
Mao Zedong bertindak memulakan satu kempen penghapusan haiwan dan serangga perosak yang kini dikenali umum sebagai, “Four Pest Campaign”.
Kempen ini dilakukan Mao setelah beliau mendapatkan konklusi, beberapa jenis haiwan dan serangga itu hendaklah dihapuskan bagi mencapai ‘status negara maju dan bebas penyakit’.
Walau bagaimanapun, menurut aktivis alam sekitar bernama Dai Qing di dalam wawancara BBC:
“Mao tidak tahu apa-apa tentang haiwan. Beliau juga tidak mahu membincangkan lebih lanjut dan mendalam tentang perlaksanaan rancangan itu serta mendengar pendapat dari pakar. Beliau hanya berbuat keputusan bahawa keempat-empat haiwan dan serangga itu perlu dihapuskan”.
Idea penghapusan haiwan dan serangga ini juga bila diteliti, sangat ‘kena’ dengan ideologi totalitarian komunis Mao. Marx, seorang tokoh komunisme itu sendiri pernah mengatakan bahawa, alam semulajadi ini harus dieksploit sepenuhnya oleh manusia, bagi tujuan memaksimakan produksi.
Satu legasi yang masih dapat kita lihat sehingga ke hari ini. Yang mana China merupakan salah sebuah negara yang menjuarai carta pencemaran alam sekitar.
4 jenis haiwan dan serangga yang menjadi sasaran di dalam kempen tersebut adalah:
- Nyamuk
- Lalat
- Tikus
- Burung pipit
Bagi nyamuk, tikus, dan lalat, sebab mengapa ia perlu dihapuskan adalah sangat difahami. Kerana haiwan dan serangga ini merupakan vektor (agen penyebaran) penyakit.
Tetapi untuk burung pipit disenaraikan sebagai ‘haiwan perosak’, dan tindakan penghapusan secara besar-besaran haiwan ini, adalah satu tindakan terburu-buru dan bodoh yang akhirnya memakan diri sendiri.
Anda semua pasti tertanya,
“Mengapa burung pipit menjadi sasaran?”
Penduduk China khususnya petani pada waktu itu, berdepan masalah kekurangan penghasilan produk pertanian mereka disebabkan oleh polisi dan dasar-dasar baru yang telah dikuatkuasakan kerajaan.
Contoh polisi tersebut adalah, satu teknik penanaman benih yang dilakukan berdekatan antara satu sama lain. Menurut logik, “semakin banyak benih ditanam dalam satu kawasan, semakin banyak hasil yang bakal diperoleh.”
Tetapi semua yang pernah belajar sains asas di sekolah rendah sudah pasti tahu kepincangan yang terhasil akibat teknik penanaman sebegitu.
Kerana penanaman benih berdekatan antara satu sama lain, akan menyebabkan persaingan tumbuhan tersebut untuk mendapatkan nutrien. Akhirnya tanaman itu tidak dapat tumbuh dengan baik. Jadi kuranglah hasil kan?
Datang burung pipit pula.. yang sememangnya suka makan benih, padi dan bijirin gandum itu, membuatkan para petani berasa marah, dan menganggap diri sebagai mangsa kepada burung.
Selain itu, saintis China turut menganggarkan bahawa, setiap ekor burung pipit memakan 4.5 kilogram benih, padi dan gandum setiap tahun. Bermakna, jika 1 juta ekor burung pipit itu dibunuh, ia menyelamatkan sumber makanan kepada 60,000 orang penduduk.
Dengan informasi ini, bermulalah tragedi “species cleansing” Passer montanus. (Nama saintifik bagi burung pipit).
Dalam ‘perang’ menentang ‘ancaman’ yang dibawa burung pipit, seluruh rakyat China berganding bahu membunuhnya.
Antara cara yang digunakan untuk membunuh burung pipit adalah seperti berikut:
- Melastik, menembak, meracun dan memerangkap burung pipit.
- Sarang-sarang dimusnahkan, telur dipecahkan dan anak burung pipit dibunuh tanpa belas kasihan.
- Puluhan ribu orang-orang telah ditempatkan di tempat-tempat strategik seperti di atas bangunan, padang lapang, jalanan, dan kawasan pertanian.
- Dan yang paling kejam, mengetuk-ngetuk kuali dan gong serta bendera turut dikibarkan untuk menakutkan burung dan memaksa ia terbang. Burung pipit yang kepenatan tanpa tempat untuk berehat, akhirnya jatuh ke tanah.
Ia sampai ke satu tahap di mana, burung-burung pipit terpaksa berlindung di kediaman duta-duta negara luar di China. Tetapi, haiwan tersebut masih tidak dapat lari dari diburu.
Di kedutaan Poland yang terletak di Beijing, pengawal yang menghalang penduduk dari memasuki kedutaan tersebut, telah dikelilingi orang ramai. Mereka kemudian bertindak memalu gendang sepanjang masa tanpa henti selama 2 hari.
Akhirnya, pekerja yang berada di kedutaan tersebut terpaksa menggunakan penyodok untuk membersihkan kawasan kedutaan dari bangkai-bangkai burung pipit yang mati.
Hasil daripada “Four Pest Campaign” secara besar-besaran ini menyaksikan penurunan populasi haiwan dan serangga yang menjadi agen penyebaran penyakit, memperlihatkan statistik penyakit berjangkit itu semakin berkurang.
Namun pada masa yang sama, pemburuan burung pipit secara besar-besaran ini telah menyebabkan burung pipit hampir pupus di China.
Pakar menganggarkan lebih daripada 1 billion ekor burung pipit, 1.5 billion ekor tikus, 100 juta kilogram lalat, dan 11 juta kilogram nyamuk, berjaya dihapuskan di dalam kempen yang berlangsung selama 4 tahun. (1958-1962)
Naif, tanpa disedari, mimpi ngeri mereka semua telah pun bermula!
Kebuluran Besar & Lebah
Ketidakstabilan ekosistem akibat penghapusan burung pipit secara besar-besaran ini akhirnya membawa malapetaka ke seluruh China. Inilah yang dikenali sebagai kesan domino. Di mana satu keping domino itu jatuh, seluruh kepingan domino yang disusun itu akan turut ikut jatuh.
Pada tahun 1959, saintis dari Akademi Sains China menjalankan autopsi kepada bangkai-bangkai burung pipit. Alangkah terkejutnya apabila mereka dapati bahawa, majoriti kandungan perut (makanan) burung pipit, terdiri daripada serangga dan bukannya biji benih dan bijirin gandum.
Tanpa pemangsa yakni burung pipit yang telah diburu dan dibunuh oleh manusia, serangga khususnya belalang, menari macam Pak Maon lah kan. Belalang membiak dan bertambah jumlah pada kadar yang sangat pantas.
Belalang ini sudah tentu lah memerlukan makanan untuk terus hidup. Ketiadaan burung menyebabkan jutaan belalang bebas bergerak, menyerang ladang dan tanaman petani dan memakan semua yang dapat ia hinggap.
Tahun 1959 juga menyaksikan penghasilan tanaman menurun sebanyak 15%. Penurunan ini akhirnya meningkat kepada 70% pada tahun berikutnya, satu paras yang paling rendah yang pernah direkodkan.
Boleh dikatakan perkara ini terjadi akibat polisi pertanian baru yang dikuatkuasakan kerajaan, dan tanaman yang musnah dimakan belalang. Ironinya, burung pipit dihapuskan untuk mendapatkan lebih banyak makanan.
Selain itu, bencana alam seperti kemarau panjang dan banjir turut menjadi faktor yang menjurus kepada peristiwa “Kebuluran Besar China”.
Atas nasihat saintis dari Akedemi Sains China, Mao akhirnya menyedari kesilapan yang telah dilakukan, dan mengeluarkan burung pipit dari senarai haiwan yang perlu dihapuskan, menggantikannya dengan pijat katil (bed bugs).
Walau bagaimanapun, kesannya tidak dapat lagi diterbalikkan. Tanpa populasi sihat burung pipit, belalang terus menerus menjadi teroris, memporakperandakan seluruh China. Keadaan menjadi semakin buruk, sehingga memaksa China ‘import’ burung pipit dari Rusia untuk mengawal situasi belalang.
Tindakan ini masih lagi tidak cukup untuk membendung masalah tersebut. Sebagai langkah usaha terakhir, racun serangga perosak (insecticide) digunakan dalam skala besar.
Walaupun ia berjaya membunuh dan menghentikan ancaman belalang, kesan tindakan itu masih dapat dirasakan sehingga ke hari ini. Kerana, bahan kimia tidak dapat mengenali siapa kawan dan siapa lawan. Ia membunuh setiap serangga yang bertemu dengannya dan ini termasuklah lebah. Iaitu serangga yang menjadi agen pendebungaan paling penting.
Pada hari ini, sesetengah kawasan di China misalnya di Sichuan, petani dan pengusaha kebun buah-buahan terpaksa beradaptasi dengan ketiadaan lebah. Mereka terpaksa mendebungakan bunga pokok mereka secara manual menggunakan tangan. Kerana populasi lebah telahpun pupus / hilang dari tempat itu.
Di dalam peristiwa “Great Chinese Famine” yang berlanjutan dari tahun 1958-1962, pihak kerajaan komunis China menganggarkan lebih daripada 15 juta penduduk China telah menjadi korban.
Bagaimanapun, anggaran angka terkini dari kajian saintis mendapati bahawa lebih daripada 30 sehingga 50 juta manusia yang telah mati pada ketika itu. Jumlah yang lebih banyak dari mereka yang terkorban dalam perang!
Kamu menumpang di bumi ini bersama makhluk-makhluk Tuhan yang lain. Tetapi kamu kedekut untuk berkongsi hasil yang dikurniakan Tuhan dan dikeluarkan dari tanah bumi.
Kamu membunuh makhluk yang tidak berdaya dengan sangat kejam. Tanpa berfikir akan akibat dari perbuatan kamu itu.
References:
- DM Lampton (1972) Public health and politics in China’s past two decades. Health Serv Rep. 87(10): 895–904
- JW Salaff (1973) Mortality Decline in the People’s Republic of China and the United States. Population Studies. 27(3): 551-576
- B Ashton et al. (1984) Famine in China, 1958-61. Population and Development Review. 10(4): 613-645
- Shapiro, Judith Rae (2001). Mao’s War Against Nature: Politics and the Environment in Revolutionary China. Cambridge University Press.
- Dikotter, Frank (2010). Mao’s Great Famine: The History of China’s Most Devastating Catastrophe, 1958-62. London: Bloomsbyry
- China’s Misguided War Against Sparrows. Retrieved from: https://ift.tt/2JQiD6m
- The Great Sparrow Campaign. Retrieved from: https://ift.tt/2vkcnv0
- Four Pest Campaign. Retrieved from: https://ift.tt/2JIQD4Q
Sumber: facebook
The post Bila China Berperang Dengan Haiwan Perosak, Mengganggu Rantaian appeared first on Aliff Channel.
0 comments:
Post a Comment