Cubaan seorang wanita menipu pihak berkuasa dengan mengatakan anak kandungnya berusia setahun tidak sedar diri kerana terjatuh dari sofa di rumah, gagal.
Perbuatan tersebut berjaya dibau apabila hasil pemeriksaan awal dari pihak doktor yang mendapati terdapat pendarahan di kedua-dua belah anak mata yang berkemungkinan disebabkan oleh penderaan dan pesakit berada dalam keadaan kritikal.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, sekitar jam 11.30 pagi doktor berkenaan telah menerima seorang pesakit kanak-kanak lelaki berusia satu tahun enam bulan yang dihantar oleh ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Kami terima laporan daripada pasukan perubatan Hospital Cyberjaya pada Ahad selepas kanak-kanak malang berkenaan meninggal dunia setelah tiga hari menerima rawatan.
Sejurus terima laporan, kami cuba menghubungi kembali ibu mangsa tapi gagal dan malangnya wanita itu juga tiada di alamat kediaman yang diberikan, ” jelasnya.
Beliau menambah lagi, dari hasil maklumat risikan, polis berjaya menyerbu sebuah rumah flat di Putra Perdana, Dengkil dan menahan suspek bersama suaminya sekitar jam 12.15 pagi pada 16 Januari.
Apabila disiasat, suspek menekup dan mencekik anaknya yang sedang tidur selepas bermalam bersama kekasihnya di sebuah kondominium di Cyberjaya pada 12 Januari lalu.
Suspek mengakui perbuatan itu kerana mengalami tekanan perasaan akibat masalah rumah tangga serta keluarga.
“Bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada mangsa di bahagian pipi, gusi, dahi dan belakang pelipat kaki kanan.
Terdapat juga kesan calar di pipi kiri serta lebam di leher dipercayai akibat dicekik.
“Punca kematian disebabkan asfiksia ataupun kekurangan oksigen dipercayai berpunca dari tindakan ibu mangsa menekup muka mangsa,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun teman lelaki suspek yang merupakan seorang pelajar kolej berusia 21 tahun bagaimanapun tidak mengaku terlibat.
0 comments:
Post a Comment