Siapa sangka, remaja bernama Aiman Tino yang dahulunya sekadar penjual char kway teow kini berjaya mencuri perhatian dengan kejayaan lagu Ku Rela Dibenci.
Aiman atau nama sebenarnya Mohd Aiman Yusri, 18, berkata, kini dia masih meneruskan pekerjaan tersebut tanpa rasa malu bagi membantu menyara keluarganya sejak tamat persekolahan tahun lalu.
Dalam pada itu, Aiman bersyukur lagu ciptaan bapanya Yusri Ismail itu mendapat perhatian sehingga mencecah lebih 13 juta tontonan di YouTube sejak dimuat naik empat bulan lalu.
Tambahnya, dia sendiri tidak pernah terfikir lagu tersebut menjadi hit dan menerima sambutan luar biasa pendengar.
“Saya sendiri terkejut dan tidak pernah terfikir lagu ciptaan bapa dan ibu saya ini mendapat sambutan menggalakkan. Apa pun saya bersyukur sangat dan ia adalah rezeki yang Allah beri pada kami sekeluarga.
“Sebelum ini saya pernah hadir ke uji bakat nyanyian untuk beberapa program realiti untuk kanak-kanak tetapi tidak pernah berjaya,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya tentang nama Aiman Tino yang digunakan, katanya, ia tiada kaitan dengan penyanyi veteran Herman Tino.
Katanya, nama tersebut digelar oleh ibunya sejak kecil kerana ibunya itu terlalu meminati penyanyi berkenaan.
“Saya tidak ada kena mengena dengan Herman Tino, cuma ia nama timangan saja kerana ibu saya minat dengan Herman Tino.
“Kami tidak ada niat pun untuk raih publisiti atau tumpang populariti penyanyi berkenaan, cuma ibu saya rasa ia unik dan sesuai dengan saya sahaja,” ujarnya.
Sumber: informasidbt
–> Klik jika rasa post ini patut dibuang
Artikel ini hanyalah perkongsian dari pelbagai website dan blog. Sekiranya perkongsian artikel yang dilaporkan disalahertikan kami tidak akan bertanggungjawab. Terima Kasih
0 comments:
Post a Comment