loading...

Friday, 9 September 2016

Bayi Kepada Ibu Berdarah O Lebih Mudah Mendapat Jaundis


Untuk pengetahuan semua, ibu yang mempunyai darah jenis O akan mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi melahirkan anak yang mempunyai jaundis. Bagi memahami perkara ini, kita perlu terlebih dahulu memahami tentang sistem pengkelasan darah (blood grouping system).
Badan kita mempunyai mekanisme tindak balas yang sangat istimewa terhadap benda asing yang memasukinya seperti bakteria, virus, fungus dan juga sel-sel asing yang lain. Ia dapat mengenal pasti antigen-antigen yang terletak pada permukaan benda asing tersebut.
Apa itu antigen? Cuba kita bayangkan diri kita sendiri. Setiap seorang daripada kita mempunyai kad pengenalan (IC) sebagai bukti yang kita ini adalah rakyat Malaysia. Sesiapa yang tidak mempunyai IC maka dia bukanlah rakyat Malaysia. Jadi kita dapat mengenal pasti dengan baik perbezaan antara rakyat Malaysia dan pendatang asing. Ini memudahkan penguatkuasaan undang-undang jika berlakunya sesuatu.
Begitu juga antigen. Ia boleh digambarkan seperti IC yang menunjukkan bahawa sel itu berasal daripada tubuh badan kita sendiri ataupun sesuatu yang asing. Jika ia asing, maka sel darah putih akan menangkap, ataupun istilah yang lebih tepat adalah memakan sel asing tersebut dan membunuhnya. Inilah salah satu mekanisma pertahanan badan untuk mengelakkan benda asing mencerobohinya.


ABO grouping
Dalam sel darah merah, ada beberapa jenis antigen yang digunakan untuk grouping system. Malaysia menggunapakai grouping system jenis ABO dan juga rhesus, daripada 30 lebihgrouping system yang lain.
Mari kita lihat dengan lebih lanjut berkenaan ABO grouping. Seseorang itu ditentukan jenis darahnya berdasarkan kepada antigen yang wujud pada permukaan sel darah merah. Jika sel darah itu mempunyai antigen jenis A, maka darah itu jenis A. Jika sel darah itu mempunyai antigen jenis B, maka ia adalah darah jenis B. Namun, pada darah jenis O tidak wujud kedua-dua antigen tersebut.
Ertinya, Antigen A dan B tidak wujud pada permukaan sel darah merah orang yang mempunyai darah jenis O. Jika darah jenis AB pula, kedua-dua antigen A dan B terdapat pada permukaan sel darah merah.
Kita telah memahami bagaimana jenis antigen menentukan jenis darah. Sekarang mari kita lihat perkaitannya dengan antibodi. Sesiapa yang mempunyai darah jenis A akan menghasilkan antibodi yang akan melawan antigen di dalam darah jenis B. Manakala, sesiapa yang mempunyai darah jenis B pula akan menghasilkan antibodi untuk melawan antigen di dalam darah jenis A.
Di sini maklumat yang paling penting. Individu yang mempunyai darah jenis O akan menghasilkan antibodi yang akan melawan kedua-dua antigen di dalam darah jenis A dan juga B, manakala individu yang mempunyai darah jenis AB pula tidak akan menghasilkan sebarang antibodi untuk melawan kedua-dua jenis antigen A dan B tersebut.


Saya ringkaskan,
Darah Jenis A —–> menghasilkan antibodi B > menyerang sel darah B
Darah Jenis B —–> menghasilkan antibodi A > menyerang sel darah A
Darah jenis O —–> menghasilkan antibodi A dan B > menyerang sel darah A, B, AB
Darah jenis AB —–> tidak menghasilkan sebarang antibodi > tiada serangan
Apa itu antibodi?
SECARA RINGKASNYA, ANTIBODI ADALAH PROTEIN YANG AKAN MENYERANG SEL YANG MEMPUNYAI ANTIGEN TERSEBUT. SEBAGAI CONTOH, ANTIBODI B AKAN MENYERANG SEL DARAH MERAH JENIS B DISEBABKAN IA MEMPUNYAI ANTIGEN B PADA PERMUKAANNYA. OLEH SEBAB ITU, DARAH JENIS A TIDAK BOLEH DIDERMAKAN KEPADA INDIVIDU YANG MEMPUNYAI DARAH JENIS B.


Apakah hubungkait antara ibu yang mempunyai darah jenis O dan bayi yang dilahirkan lebih mudah terkena jaundis?
Hanya bayi yang mempunyai darah selain daripada O iaitu A, B dan AB akan mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat jaundis. Jika bayi itu sendiri mempunyai darah jenis O, ia tidak berisiko untuk mendapat kuning walaupun ibunya mempunyai darah jenis O. Seperti yang telah saya jelaskan diatas, seseorang yang mempunyai darah jenis O akan menghasilkan antibodi untuk melawan darah jenis A, B dan juga AB sahaja.
Ketika proses kelahiran, darah jenis O ibu yang mempunyai antibodi A dan B mungkin akan bercampur dengan darah bayi dan menyebabkan antibodi ini menyerang sel darah bayi. Ini menyebabkan sel darah merah itu pecah dan menghasilkan bilirubin yang menyebabkan kekuningan pada bayi. Jika kandungan bilirubin dalam darah terlampau tinggi, maka bayi tersebut perlu menjalani ‘phototherapy’ untuk mengurangkan jaundis.

Oleh itu, jika para ibu mengunjungi klinik disebabkan bayi mempunyai jaundis, tidak perlu pelik dan tertanya-tanya jika tiba-tiba doktor bertanyakan jenis darah ibu. Diharapkan penjelasan ini dapat membantu para ibubapa di luar sana!
Sumber: Apercher.com

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment

loading...