KKM menyatakan penilaian berterusan akan dilakukan oleh pihaknya terhadap aspek keselamatan, kualiti dan kesahihan tuntutan sesuatu produk kosmetik yang dipasarkan.
PETALING JAYA : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan formulasi bedak talkum syarikat Johnson & Johnson yang dipasarkan di Malaysia mematuhi keperluan yang ditetapkan Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik.
Di samping itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penilaian secara berterusan akan dilakukan oleh pihaknya terhadap aspek keselamatan, kualiti dan kesahihan tuntutan sesuatu produk kosmetik yang dipasarkan.
Sebarang maklumat terkini yang berkaitan dengan isu-isu keselamatan sesuatu produk akan dinilai dan pihak KKM akan mengambil tindakan regulatori yang sewajarnya jika diperlukan.
KKM juga akan terus prihatin dengan mana-mana kajian semasa yang dikeluarkan dan memantau keadaan dengan teliti untuk sebarang perkembangan terbaru, kata Noor Hisham menerusi kenyataan.
Media antarabangsa baru-baru ini melaporkan Johnson & Johnson telah diperintahkan membayar $72 juta (RM294juta) setelah kematian seorang wanita akibat kanser yang dikaitkan dengan produk keluaran syarikat itu.
Laporan Metro.co.uk menyebut, Jacqueline Fox mati akibat kanser ovari yang didapati berkait dengan penggunaan produk talkum Baby Powder dan Shower to Shower yang digunakan oleh Fox selama beberapa dekad.
Ketua Akses Pasaran Johnson & Johnson Malaysia, Andy Lee menerusi kenyataan kepada FMT baru-baru ini menyatakan semua produk talkum syarikat Johnson & Johnson yang digunakan dalam semua produk globalnya telah dipilih dengan teliti dan memenuhi piawaian kualiti, ketulenan dan pematuhan tertinggi.
Sekiranya orang-ramai mempunyai sebarang pertanyaan atau keraguan, Noor Hisham menasihatkan supaya menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di talian 03-78835533/5534 atau emel kosmetik@bpfk.gov.my.
Orang ramai juga boleh menyemak status notifikasi produk-produk tersebut melalui laman web rasmi BPFK di portal.bpfk.gov.my
Sumber : BicaraNework
Sumber: superkiram
–> Klik jika rasa post ini patut dibuang
Artikel ini hanyalah perkongsian dari pelbagai website dan blog. Sekiranya perkongsian artikel yang dilaporkan disalahertikan kami tidak akan bertanggungjawab. Terima Kasih
0 comments:
Post a Comment