Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Muar mengakui tidak sabar untuk berdebat dengan dua pemimpin Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Najib Tun Razak apabila sidang Parlimen bermula kelak.
Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, beliau turut berharap agar Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau akan menjadi ketua pembangkang.
“Saya memang menanti-nantikan situasi tersebut. Bukan saja berdebat tetapi saya juga nak bekerjasama dengan mereka.
“Contoh macam KJ (Khairy), program-program yang telah dilaksanakan seperti Fit Malaysia sangat baik dan perlu diteruskan. Kalau ada idea yang baik, beliau boleh bangkitkan di Parlimen,” katanya dalam sesi Facebook Live Sinar Harian, hari ini.
Menurut beliau, Manifesto Pakatan Harapan (Harapan) juga telah menetapkan status ketua pembangkang adalah setaraf menteri.
“Mereka akan diiktiraf setaraf dan layanannya sama seperti menteri. Apabila ketua pembangkang itu kuat, dia boleh pastikan kerajaan yang mentadbir adalah kerajaan yang telus dan berintegriti.
“Sebab itu kita nak tunggu siapa ketua pembangkang daripada pihak BN supaya kita boleh naikkan tarafnya sama seperti menteri,” katanya.
Mengulas mengenai kemenangannya dalam PRU14 walaupun dipandang sebelah mata pihak lawan, Syed Saddiq berkata, ia merupakan kejayaan untuk anak muda.
“Sebelum saya bertanding, banyak pihak kata saya ni terlalu muda dan tak mampu membangunkan Muar. Saya dipanggil dengan pelbagai gelaran seperti anak kucing dan budak hingusan oleh menteri BN.
“Tetapi kemenangan ini menunjukkan anak muda mampu kalau diberi peluang. Saya harap ini isyarat jelas kepada kerajaan dan juga pembangkang yang baru untuk beri lebih banyak peluang kepada kami,” katanya.
Penerima Dana Sinar Anak Muda Dalam Politik ini juga bersedia memberikan sumbangan untuk menggalakkan lebih ramai anak muda berpolitik.
“Saya harap inisiatif ini akan disertai oleh semua anak muda. Semoga akan ada inisiatif lain seperti program kepimpinan anak muda dan saya akan cuba sebaik mungkin untuk bantu,” katanya.
Sumber: Astro Awani / Sinar Harian via Gempak.com
The post ‘Tak Sabar Nak Jumpa KJ, Najib di Parlimen’ – Syed Saddiq appeared first on Aliff Channel.
0 comments:
Post a Comment