loading...

Tuesday, 9 May 2017

50 Perkara Anda Mesti Buat Sebelum Bernikah, Serius Senang — Paling Mujarab Naikkan Seri!


Tarikh pernikahan sudah ditetapkan. Mengapa tunggu lagi? Susun strategi cantikmu. Kami ada 50 peringatan untuk kamu. Usahakan kalau mampu!

Artikel Asal: Majalah InTrend
Foto: Instagram Juliana Evans / Nora Danish / Sari Yanti

1. Lakukan scrubbing bagi membersihkan lebihan minyak, menghilangkan lapisan sel-sel kulit mati serta bintik-bintik hitam yang menutup liang pori-pori.

2. Apabila tinggal seminggu sebelum perkahwinan, hentikan amalan scrubbing supaya kulit bebas daripada masalah rengsa kemerah-merahan.



3. Aplikasilah masker selalu kerana ia mempercepatkan baik pulih kulit. Ia juga menghapuskan saki-baki kotoran selain menyumbang zat pada kulit. Aplikasi masker pada wajah secara intensif tujuh hari berturut-turut manakala masker khas untuk bahagian mata tiga hari sebelum persandingan agar mata lebih sihat bercahaya.

4. Rawatan tradisional seperti manggir dipercayai dapat membantu mencerahkan kulit, menegang dan memejalkan kulit badan. Ia boleh dijadikan scrub dan masker; diperbuat daripada beras pulut ditumbuk halus dan ramuan dedaun khusus manggir. Ia elok dilakukan seminggu sekali.

5. Bleaching yang mengandungi kayu cendana dan lavender dikatakan dapat mencerahkan kulit dengan lebih cepat.

6. Jika kamu amalkan kaedah moden, gunakan krim pencerah berumusan multi vitamin serta perlindungan UVA & UVB untuk menjadikan kulit lebih cerah berseri. Lakukan secara intensif selama empat minggu.

7. Amalkan pemakaian pelembap setiap pagi dan malam dengan rumusan SPF agar kulit bakal pengantin sentiasa dilihat sihat dan segar tanpa masalah kering dan mengelupas apabila bersanding kelak.

8. Jangan pentingkan kecantikan wajah sahaja. Leher juga perlu dititikberatkan. Sapuan losen atau krim perlulah sampai ke bahagian leher.

9. Bahagian tubuh lain juga penting dan perlukan perhatian wajar. Sentiasa lindungi kulit tubuh (tangan, badan dan kaki) dengan krim dan pelembap supaya kekal segar sentiasa.

10. Lakukan rawatan lulur sebulan sebelum majlis pernikahan. Lulur dikatakan dapat mengurangi parut di muka, menguning dan melicinkan kulit wajah.

11. Lakukan rawatan spa rambut. Rawatan ginseng dapat mengelakkan rambut gugur. Rawatan lidah buaya pula sesuai untuk rambut normal manakala rawatan lobak bagus untuk menyihatkan rambut kering. Rawatan rambut dilakukan untuk menjadikan rambut lebih bermaya, ikal, tidak kering, bersinar dan bebas kelemumur.

12. Potong atau warna rambutmu sebulan sebelum perkahwinan agar kamu sempat berbuat sesuatu (ubah atau perbaiki) jika tidak sesuai.



13. Lakukan trial. Kunjungilah beberapa pusat dandanan untuk cuba beberapa style demi mendapatkan dandanan terbaik, juga serasi wajah.

14. Trim rambut pada bahagian hujung yang bercabang dan rosak beberapa hari sebelum menjelang hari penting untukmu.

15. Masalah bau badan memang memeningkan kepala. Lakukan mandian susu yang mengandungi campuran susu soya, susu kambing, madu dan aromaterapi. Berendamlah selama 15-20 minit dan lakukannya seminggu sekali.

16. Pastikan tiada sehelai rambut pun pada bahagian bawah lengan sekiranya kamu bercadang untuk memakai gaun moden tanpa lengan. Pastikan pagi hari perkahwinan kamu lakukan final trim sebelum melangkah ke pelamin.


17. Sental daerah bawah lengan dengan kulit limau purut semasa mandi. Atau, gosok bahagian bawah lengan dengan tawas untuk menghilangkan bau dan mencerahkan kulit pada bahagian tersebut.

18. Malu sekiranya kamu mempunyai lutut dan siku kehitaman? Gosok bahagian tersebut menggunakan limau purut atau limau nipis setiap hari. Kemudian lembapkannya dengan sapuan losen yang mengandungi ekstrak lidah buaya dan formula pencerahan kulit.

19. Jangan lupa menjaga bahagian sulit. Pastikan sentiasa bersih dan dicuci dengan pencuci intim wanita setiap hari agar mewangi dan disenangi bersama suami.

20. Berjumpalah doktor gigi untuk melakukan scaling dan bleaching sebulan awal. Pastinya kamu mahukan senyuman menawan dengan susunan gigi teratur dan bersih di hari persandingan.


21. Jika kamu bakal pengantin yang menggunakan pendakap gigi, pastikan ia dibuka sebelum hari kahwin. Barulah senyuman sempurna.

22.Lakukan manicure seminggu sebelum majlis berinai. Pastikantiada tinggalan kutikel dan kotoran pada celahan kuku. Pastikan jari dan kuku bersih dan cantik ketika upacara menyarung cincin dan membatalkan air sembahyang.

23. Kaki juga penting. Selepas manicure, teruskan rawatan pedicure. Rendam kaki di dalam air perahan limau untuk membuang daki.

24. Lakukan juga waxing untuk membuang bulu halus di kaki dan tangan. Dua hari sebelum majlis nikah, lakukan face waxing (dilakukan mak andam) untuk menaikkan seri pengantin.

25.  Berinai sudah menjadi budaya masyarakat Melayu. Jemari manis bakal pengantin akan dihiasi merah inai tiga hari sebelum perkahwinan (pada majlis berinai).

26. Bagi bakal pengantin yang ingin menaikkan seri wajah gemilang, lakukanlah petua turun temurun orang tua iaitu mandi bunga (mandi dengan air campuran bunga melati, tanjung, melur, mawar, kekwa dan cempaka). Ia juga dikatakan dapat menolak sebarang musibah kepada bakal pengantin.


27. Mandi Cleopatra jarang dilakukan. Ia menggunakan pupur daripada lumpur bercampur madu, telur, minyak zaitun, minyak bunga matahari dan bahan lain. Sapukan kesemua bahan ini dan biarkan kering. Mandian ini dipercayai membantu menegang, memejal, menghalus dan memberikan khasiat pada kulit. Hasilnya, kulit terserlah lembut dan lambat berkedut.

28. Mandian wap juga bagus dilakukan untuk menyahtoksin badan, bahkan menjadikan tubuh berasa lebih segar. Ia juga satu kaedah stim kulit yang lebih menyeluruh.

29. Petua orang tua-tua ada memesan kepada bakal pengantin supaya makan bunga mawar untuk menaikkan seri. Kunyah sekuntum sehari, sepanjang 44 hari, disertai selawat Nabi.

30. Beberapa hari sebelum berlangsungnya hari perkahwinan, elakkan bersolek tebal. Ini untuk menaikkan seri pengantin di hari persandingan dengan wajah jelita disolek cantik.

31. Untuk bakal pengantin, selalulah menjengah ke spa center untuk rawatan body massage. Urutan bersama-sama minyak aroma terapi amat bagus untuk merelakskan minda dan fizikal.

32. Lakukan facial treatment dua kali setiap minggu untuk membersihkan wajah serta merawat pori-pori. Sebaik-baiknya lakukan urutan haba pada wajah. Selain mengetatkan pori-pori ia juga bagus untuk melancarkan peredaran darah.

33. Sebulan sekali, lakukan urutan Shiatsu. Ia bagus untuk menguatkan tekstur tulang dan meningkatkan stamina bakal pengantin. Ia meredakan tekanan dan angin pada bahagian tertentu agar badan segar dan fikiran tenang.

34. Lakukan terapi refleksologi. Selain merelakskan kaki, refleksologi juga bagus buat bakal pengantin yang berdarah manis. Ia mampu merawat penyakit seperti gangguan halus, sihir juga meroyan. Refleksologi bagus dilakukan seminggu sebelum perkahwinan.

35. Bagi bakal pengantin yang mempunyai berat badan berlebihan, mulalah berdiet enam bulan awal diikuti latihan intensif di pusat pelangsingan. Sertailah pakej- pakej yang bersesuaian.

36. Untuk bakal pengantin, pastikan kamu cukup tidur supaya wajah lebih fresh dan mata tidak sembap pada esoknya.

37. Dua minggu sebelum hari perkahwinan, pastikan kedua- dua bakal pengantin melakukan rawatan kesihatan untuk memastikan tahap kesihatan baik dan terlihat sihat kala bersanding.

38. Makan B Complex dan Spirulina untuk tingkatkan daya kesihatan. Ia juga bagus buat kulit.

39. Bagi pengantin perempuan, amalkan tidur malam memakai stoking kerana angin sepoi malam yang mengenai tubuh (utamanya melalui kaki) boleh mengakibatkan badan berangin.

40. Kamulah diva saat ini. Jangan lakukan kerja-kerja berat. Arahkan sahaja kepada ahli keluarga. Kamu perlu banyak berehat untuk meleraikan ketegangan fizikal.

41. Pastikan bakal pengantin makan secukupnya. Do not skip your meal. Pastikan kamu mengambil makan malam (hari sebelum) dan sarapan pagi untuk mengelakkan pengantin pengsan di atas pelamin.

42. Bagi yang perfectionist, rajin-rajinlah selak majalah enam bulan sebelum majlis perkahwinan untuk dijadikan rujukan tentang busana, solekan dan hantaran.

43. Bagi yang mempunyai bajet lebih besar, buat tempahan awal dengan wedding planner seawal enam bulan terdahulu. Ini penting demi mengelakkan pertembungan tarikh.

44. Jangan lupa tempah juga jurusolek profesional ataupun mak andam. Pastikan kamu melakukan trial make up di beberapa tempat bagi mendapatkan hasil yang dikehendaki. Tempah juga jurugambar profesional agar persandingan kamu terlihat meriah dan glamor.

45. Untuk mengelakkan wajah berminyak, sebelum bersolek alitkan ais sekitar wajah terutamanya di zon T dan lap dengan tuala bersih. Ia berfungsi mengetatkan pori-pori. Kemudian barulah mulakan solekan.

46. Pesan pada pengapit agar sentiasa membawa blotting paper ataupun tisu untuk menghilangkan peluh dan kesan minyak pada wajah pengantin agar solekan tidak pudar.

47. Minta jurudandan kemaskan dandanan rambut dengan hair spray untuk mengekalkan dandanan biarpun berjam-jam lamanya kamu berada di atas pelamin.

48. Sekiranya kamu tidak setuju dengan jurusolek, bersuaralah. Terutama sekali bab mencantas kening. Ingat! Kening membingkai wajah kamu lebih sempurna. Sekiranya mak andam terlebih mencantasnya, lain pula rupa pengantin nanti.

49. Last call! Tiga hari sebelum berlangsungnya majlis, buat panggilan peringatan kepada wedding planner, mak andam dan jurugambar mengingatkan mereka tentang majlis kamu, jangan ada yang keliru atau lupa.

50. Di hari persandinganmu nanti, jangan lupa pastikan segelas air mineral sentiasa berada berhampiran dengan kamu. Ini penting supaya kamu dapat selalu membasahkan tekakmu yang kering.

©2016 Astro Digital Publications Sdn Bhd (379611-V) | Hak Cipta Terpelihara.

0 comments:

Post a Comment

loading...