loading...

Sunday, 30 July 2017

Pencuri Pura Pura Mati Bangun Semula Selepas Digeletek

Pencuri Pura Pura Mati Bangun Semula Selepas Digeletek|Seorang lelaki sanggup berpura-pura mati bagi melepaskan diri selepas ditangkap ketika cuba mencuri biri-biri di Kampung Hujung Padang Embun di sini, malam semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, suspek berusia 30-an ditangkap ketika sedang bersembunyi di sebalik rimbunan pohon salak bersama motosikal miliknya yang terletak tidak jauh dari kandang biri-biri.

Pemilik haiwan berkenaan, Ibrahim Salleh, 60, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di rumah sambil menonton berita sebelum diberitahu anaknya Faiz, 23, yang ternampak kelibat suspek.

“Sebaik sahaja melihat kelibat suspek yang bersembunyi di balik rimbunan pokok salak, saya dan Faiz terus bergegas keluar untuk menangkap lelaki berkenaan.

“Kami turut meminta bantuan jiran untuk menangkap suspek tersebut,” katanya.

Katanya, ketika ditangkap suspek berpura-pura tidak sedarkan diri seolah-olah ‘mati’.

Menurutnya, bagaimanapun taktik itu tidak berjaya setelah di geletek dan penduduk kemudian menyoal suspek yang mengaku mahu mencuri haiwan berkenaan.

“Faiz mengakui sering ternampak suspek yang berlegar-legar di kawasan berkenaan sejak tiga hari lalu,” katanya.

Terdahulu, kejadian itu menjadi tular di aplikasi WhatsApp dan mendakwa suspek meninggal dunia akibat ditanduk biri-biri berkenaan apabila gambarnya tidak sedarkan diri tersebar.

Penyebaran berita tersebut sekali gus menggemparkan penduduk kampung.

Difahamkan ketika ditangkap, suspek tersebut berada di bawah pengaruh dadah.

Ibrahim berkata, penyebaran berita tersebut tidak benar sama sekali, sebaliknya suspek hanya berpura-pura mati.

“Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Mohd Anuar Musa, 65, lega dengan penangkapan lelaki berkenaan.

Katanya, sepanjang minggu lalu sudah tiga kes kecurian berlaku di kawasan berkenaan menyebabkan penduduk sentiasa berjaga-jaga.

0 comments:

Post a Comment

loading...