Tun Dr Mahathir kongsi tips rahsia jaga badan|Mekipun telah berusia 91 tahun, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih lagi kekal aktif dan mempunyai daya fikir yang tajam.
Menurutnya, tiada rahsia yang diamalkan cuma harus sentiasa mengamalkan hidup sihat.
“Jangan hisap rokok, minum arak dan makan terlalu banyak, itulah tiga perkara yang saya amalkan.
“Lagi satu, dalam soal penjagaan makanan, pastikan berhenti sebelum kenyang kerana jika tidak beringat maka perut pun mudah jadi besar,” katanya ketika ditemui di Tayangan Perdana dan Bicara Filem Pendek Sikap di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, semalam.
Beliau juga turut memberi nasihat agar jaga jantung masing-masing kerana ia merupakan organ penting dalam tubuh badan.
“Jantung bekerja sepanjang masa, dari dalam rahim lagi hingga akhir hayat kita, jadi ingat-ingatlah sikit dan janganlah bagi ia kerja banyak.
“Bila badan kecil, jantung berupaya bekerja dengan mudah untuk mengepam darah ke seluruh tubuh, tapi bila badan besar, organ tersebut perlu bekerja dengan lebih kuat lagi,” katanya.
Mahathir juga turut berkongsi petua yang diberikan oleh ibunya satu ketika dahulu.
“Ibu saya kata, ketika tengah seronok makan, berhenti. Apabila kita biasakan diri dengan tabiat ini, ia akan menjadi lebih mudah.
“Sebab itu, seluar yang saya beli 40 tahun dahulu masih lagi muat,” tambahnya.
0 comments:
Post a Comment