loading...

Tuesday, 1 August 2023

Cara Terbaik Elak Ular Masuk Rumah Korang

Cuaca yang tak menentu menyebabkan haiwan berdarah sejuk mula mencari tempat berteduh atau rumah baru untuk berlindung terutamanya ular.

Jadi berita ular masuk ke dalam rumah bukanlah sesuatu perkara yang baru, boleh terjadi di kawasan kampung dan di bandar juga. 

Cuma nak highlight kat sini, tak semua ular berbisa tapi yalah, kalau dah berdepan dengan ular dalam rumah pasti bertempiaran lari.

Baru-baru ini tular video seorang kanak-kanak sedang berbaring di atas seekor ular kecil telah mendapat perhatian ramai.

@501awani

“Setibanya di tempat kejadian didapati seekor anak ular senduk berada di bawah kanak-kanak di ruang tamu. Tindakan segera anggota bomba memastikan keadaan selamat,” kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad #AWANInews

♬ original sound – 🇲🇾Astro AWANI🇲🇾 – 🇲🇾Astro AWANI🇲🇾

Difahamkan, semasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) datang menyelamat, ular ini masih di bawah badan kanak-kanak tersebut!

Katanya itu Ular Tedung, nasib baik abang bomba sempat selamatkan!

Sebab Apa Ular Masuk Rumah?

Keadaan cuaca yang tak menentu merupakan sebab utama haiwan berbisa ini mula mencari tempat untuk berlindung. 

Selain daripada faktor cuaca, keadaan kawasan rumah juga boleh menjadi punca ular suka singgah ke rumah korang.

Antara tempat yang berpotensi untuk ular berteduh ialah di kawasan rumput atau semak yang tinggi di sekeliling rumah, rak kasut di bahagian luar, longkang kecil atau tong sampah. 

Selain itu, ular juga suka pergi ke tempat yang ada sumber makanan dan juga air seperti rak kabinet dapur, sangkar kucing, dalam tandas, rak baju, atas siling rumah atau rekahan dinding.

Kalau rumah korang berdekatan dengan sumber air seperti kolam, longkang besar, parit atau tasik, risiko untuk ular bersarang di kawasan rumah korang sangat tinggi.

Bagaimanapun, kawasan yang dijaga dengan baik dan sentiasa dibersihkan, jarang menjadi tempat persembunyian ular.

Senang kata, ular sangat suka kawasan yang senyap, sejuk dan lembap serta akan menyelusup masuk di kawasan yang kecil dengan mudah tanpa kita sedar.

Tips Elak Ular Masuk Dalam Rumah

Panik dan takut adalah perasaan yang bakal kita rasa jika terjumpa ular dalam rumah lebih lagi jika melibatkan ular yang berbisa dan bersaiz besar. 

Jadi untuk elakkan ular daripada memasuki kawasan rumah korang, jom ikuti beberapa langkah mudah ini.

  1. Jangan Ada Longgokan Sampah

Jika korang tinggal di kawasan rumah bertanah, pastikan tiada longgokan sampah, longokan barang-barang seperti perabot terbuang, longgokan daun kering atau kayu. 

Longgokan barangan terbuang seperti ini berpotensi untuk jadi lokasi untuk ular berlindung.

2. Tutup & Bersih Lubang Di Rumah

Kawasan bumbung rumah dan lubang paip saliran air juga berpotensi untuk menjadi laluan masuk ular ke dalam rumah korang. 

Kalau rumah korang ada paip saliran air dari bumbung, pastikan ada pasang jaring besi kecil di penghujung setiap paip supaya ular tak dapat masuk ke dalamnya. 

Untuk bahagian bumbung pula, korang boleh tutup lubang yang terbuka dengan jaring besi kecil dan taburkan belerang atau sulfur. 

Tapi, kalau lubang bumbung atau saliran paip tak boleh ditutup, pastikan korang bersihkan kawasan tersebut dengan kerap sebab ular tak suka tempat yang bersih.

3. Tiada Tikus & Katak

Sebenarnya, ular bukanlah sejenis binatang yang bersarang jadi ia akan bergerak mencari tempat yang ada sumber makanan.

Oleh itu, pastikan rumah korang tiada makanan untuk ular seperti tikus dan katak supaya haiwan berbisa ini tak singgah dan berteduh di rumah.

Ular akan berada di satu tempat dengan lebih lama lagi jika banyak sumber makanan dan akan berpindah ke tempat lain bila makanan habis.

Selepas ini, terus check di bumbung dan kawasan luar rumah korang jika ada sarang tikus atau katak dan terus hapuskan binatang ini.

4. Letak Ubat Gegat

Bau ubat gegat akan membuatkan ular rasa tak selesa dan akan menjauhkan diri mereka dari kawasan tersebut.

Korang boleh letakkan ubat gegat di kawasan yang berpotensi untuk ular masuk ataupun di sepanjang kawasan laman rumah.

Tapi, ubat gegat sangat berkesan terhadap sesetengah ular sahaja dan ada beberapa jenis ular tak terkesan jadi korang boleh cuba tips seterusnya.

5. Tabur Serbuk Belerang atau Sulfur

Korang boleh beli serbuk di kedai hardware atau boleh juga beli secara online

Semasa guna serbuk belerang, korang perlu pakai sarung tangan ketika menaburnya kerana bahan ini boleh merosakkan kulit jika disentuh tanpa lapik.

Bau serbuk belerang atau sulfur akan menghalang ular daripada masuk di kawasan rumah jadi korang taburkan sahaja di sepanjang laman rumah atau laluan yang berpotensi uar masuk. 

Serbuk belerang ini juga akan membuatkan kulit ular sakit, kesannya ular tak akan lalu kawasan itu lagi. 

6. Semburan Minyak Kulit Kayu Manis & Bunga Cengkih

Cara paling mudah dan selamat, korang boleh buat sendiri air semburan halau ular yang sangat berkesan ini.

Korang hanya perlu campur 4 hingga 5 liter air dengan 4 hingga 8 titik minyak kulit kayu manis dan bunga cengkih, kacau bancuhan tadi dan dah siap!

Lepas itu, korang masukkan ke dalam botol penyembur dan terus sembur di kawasan yang berpotensi untuk ular masuk. 

Jangan risau, bau air bancuhan campuran rempahan ini selamat digunakan di dalam dan luar rumah.

Ular Dah Masuk Dalam Rumah, Nak Buat Apa?

Pertama sekali, penting untuk korang jangan panik dan perhatikan ular yang ada dalam rumah itu. 

Jarakkan diri daripada ular tersebut dalam 4-5 meter dan terus telefon Jabatan Bomba dan Penyelamat atau JPAM.

Sementara tunggu pertolongan sampai, pastikan korang kekal tenang, perhatikan gerak geri dan arah ular bergerak sebab risau dia pindah ke kawasan lain.

Korang juga boleh cuba kenal pasti jenis ular, panjang, warna serta corak badannya untuk berikan maklumat yang tepat kepada pasukan penyelamat nanti.

Ingat tau, jangan cuba tangkap ular tanpa kemahiran, berniat mencederakan ular tersebut atau kacau ular menggunakan peralatan seperti kayu atau besi panjang.

Minta ahli keluarga atau penghuni rumah untuk segera keluar dan jangan bising kerana ular tak suka bunyi yang kuat dan akan mudah triggered


Apa Nak Buat Kalau Kena Patuk Ular?

Malang tak berbau, tapi penting untuk kita kekal bersedia dengan kejadian yang tak dijangka seperti di patuk ular. 

Jom ikuti langkah mudah yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

1. Kekal tenang! Korang perlu jauhi ular tersebut dan cari tempat selamat. 

2. Cuba ingat ciri-ciri ular dan tangkap gambar ular tersebut jika sempat untuk memudahkan doktor yang merawat nanti.

3. Jangan pandai-pandai hisap tempat patukan ular tau! Tindakan ini boleh menyebabkan kecederaan jadi lebih teruk dan bisa boleh merebak dengan lebih pantas.

4. Telefon 999 segera atau terus pergi ke hospital terdekat.

5. Kurangkan pergerakan di bahagian yang telah dipatuk.

6. Jangan ikat tempat kena patuk ular tadi sebab kesakitan boleh makin teruk dan darah mungkin tak mengalir dengan baik. 

7. Cuci luka patukan ular dengan air bersih, tapi jangan sental atau gosok bahagian luka tersebut.

8. Jika korang berjaya bunuh ular tersebut, bawa bangkainya sekali ke hospital jadi akan mudahkan doktor tengok spesies apa untuk tentukan rawatan anti venom yang sesuai. 

9. Dah sampai hospital nanti pastikan korang beri maklumat tepat kepada doktor yang merawat. 

10. Doktor akan tengok keadaan luka bisa dulu sebelum tentukan rawatan bersesuaian.

Apa pun, tak semua ular mengeluarkan bisa yang berbahaya, jadi ubat anti venom hanya akan diberikan kepada sesetengah jenis bisa patukan ular sahaja. 

Paling penting, bila tiba musim cuaca tak menentu sekejap panas dan sekejap hujan, rajin-rajinlah kemas kawasan dalam dan luar rumah serta tutup lubang yang perlu.

Semoga tips kami bermanfaat!

0 comments:

Post a Comment

loading...