Amar Baharin dan Amyra Rosli diduga sekali lagi apabila anak kedua mereka, Ayra Aryssa, mengalami demam panas dan dikejarkan ke pusat perubatan kira-kira jam 1 pagi, Rabu.
Baru sahaja sembuh dari Covid-19 pada Januari lalu, Amar atau nama sebenarnya Amar Mohd Baharin bimbang apabila suhu badan Ayra yang baru berusia dua tahun mencecah 41 darjah celsius.
“Arysasa mengalami demam panas… suhu badannya tinggi sehingga mencecah 41 celsius. Melihat keadaanya itu, kami terus bawa dia ke hospital Prince Court, KL pada sekitar 1 pagi tadi.
Amar kongsi keadaan anaknya di Instagram.
“Sehingga kini, Aryssa masih ditahan wad dan pagi tadi baru jumpa doktor. Keadaan dia masih dalam pemantauan dan kami tak buat ujian calitan sebab dia baru baik dari Covid-19.
“Tiba-tiba demam panas dan tak tahu punca dia apa. Itu yang membuatkan kami risau sangat,” kata Amar ketika dihubungi mStar pada Rabu.
Sebelum ini, pasangan selebriti itu memuat naik gambar anak mereka yang terlantar sakit di sebuah hospital di laman Instagram masing-masing pada Rabu.
Kebanyakan netizen dan rakan selebriti mendoakan agar anak perempuan pasangan itu cepat sembuh.
Tiba-tiba demam panas dan tak tahu apa puncanya
Sementara itu, Amar memberitahu bahawa anaknya kini dijaga oleh kakak iparnya kerana dia dan isterinya terpaksa menjalani penggambaran yang sudah dijadualkan.
“Saya dan Amyra tak dapat nak teman dia di hospital sebab kami berdua ada penggambaran, kebetulan jadual padat pula. Sekarang ini, mak saudara Aryssa yang teman di hospital,” ujarnya.
Sebelum ini, Amyra mengalami sakit sendi dan lebam di beberapa bahagian tubuhnya selain batuk tidak henti menyebabkan dia terpaksa berehat daripada menjalani penggambaran drama Jangan Menangis Cinta.
Menerusi temu bual bersama mStar pada 31 Mac lalu, Amar memaklumkan keadaan itu tidak pernah berlaku dan isterinya juga telah menjalani pemeriksaan namun keputusan ujian darah dalam keadaan baik.
Berkongsi keadaan kesihatan Amyra sekarang, Amar melahirkan rasa syukur apabila isterinya kembali sihat selepas menjalani rawatan di hospital dan perubatan Islam.
“Alhamdulillah, Amyra pun dah mula bekerja dan menjalani penggambaran sejak kelmarin. Keadaan dia pun dah sihat macam biasa. Syukur tak berpanjangan sakit dia itu.
“Memang kami ada ikhtiar dua cara… hospital dan perubatan Islam. Alhamdulillah, dia pun dah sihat dan dapat bekerja seperti biasa,” katanya.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada November 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aqeef Anaqi, 4 dan Ayra Aryssa yang kini berusia dua tahun.
The post Amyra Rosli Baru Sembuh Dari Penyakit Misteri, Anak Pula Masuk Hospital appeared first on Aliff Channel.
0 comments:
Post a Comment