Adalah menjadi tanggungjawab anak untuk menguruskan ibu bapanya apabila sudah tua kelak, tetapi setiap orang akan menghadapinya dengan berlainan cara. Jika ibu bapa anda dalam keadaan sihat itu biasa, tetapi jika ibu bapa dalam keadaan nyanyuk, itu adalah risiko buat anak.
Nyanyuk ataupun Alzheimer merupakan sejenis penyakit penurunan fungsi saraf otak yang kompleks dan progresif. Penyakit Alzheimer bukannya sejenis penyakit berjangkit. Daya ingatan seseorang merosot dengan teruknya sehinggakan pengidapnya tidak mampu mengurus diri sendiri.
Penyakit Alzheimer bukannya `nyanyuk’ yang sekadar satu proses penuaan. Sebaliknya, ia adalah sejenis masalah kesihatan yang amat menyeksakan dan perlu diberikan perhatian.
Kesabaran adalah sangat penting dalam menguruskan ibu bapa yang nyanyuk. Sebagai anak, seharusnya tahap kesabaran anda tinggi bagi berhadapan situasi tersebut. Ini kerana ianya hanyalah pengorbanan yang sedikit berbanding mereka yang membesarkan anda sedari kecil hingga besar, berapa banyakkah pengorbanan mereka telah lakukan sepanjang itu? Fikirkan.
Jadi, ini tips untuk anda-anda yang ketika ini perlu menjaga ibu ayah yang berhadapan masalah nyanyuk atau Alzheimer.
Beri jawapan yang sama
Ibu ayah yang nyanyuk mereka tidak akan dapat mengingat walau kejadian seminit yang lalu. Setiap saat adalah perkara baru buat mereka. Anda yang berhadapan dengannya akan jadi cepat lelah. Letih nak menjawab banyak kali. Tapi, jawab sajalah dengan jawapan yang sama.
Jangan diubah-ubah, kerana jawapan yang berubah-ubah akan lebih membuatkan mereka kebingungan dan akhirnya emosi mereka akan berubah. Menjadi marah dan cepat perengus. Jika sudah terlalu lelah mahu menjawab, tanyakan kembali soalan yang sama pada mereka. Nanti anda lihat apa reaksi ibu atau ayah yang terlupa-lupa ini.
Jangan cabar
Pantang untuk ibu atau ayah yang nyanyuk ini untuk diajak berdebat, atau anda cuba membetulkan keadaan salah mereka. PERCAYALAH! mereka takkan faham pun. Kerana pada mereka, kita cuma mahu mempersendakan mereka sebenarnya. Jadi, berlembutlah. Jika kata-kata mereka tak masuk akal fikiran anda sekalipun, ajarlah fikiran kita untuk dengar dan lepaskan. Jangan masuk membawa sampai ke hati. Kerana akhirnya nanti anda yang keletihan.
Ketenangan
Mereka yang diserang keadaan nyanyuk ini amat tidak boleh menerima perubahan. Hatta, perubahan itu cuma melibatkan kedatangan tetamu di rumah anda. Bermacam-macam persoalan akan bermain di fikiran. Jika tiba-tiba rumah anda akan didatangi adik beradik yang lain, bawalah ibu atau ayah di bilik yang lain. Biar dia tenang di situ. Tapi, dia pasti tidak akan duduk diam setempat.
Jika habitnya berjalan-jalan di sekitar rumah, biarkan saja. Jangan dilarang, atau memberi terlalu banyak arahan. Dia akan bertambah rungsing dan emosinya akan cepat berubah menjadi marah-marah. Ajarlah anak-anak agar hormatkan ibu dan ayah yang terlupa-lupa itu. Minta mereka jangan buat perangai dan layankan saja perangainya.
Banyakkan berzikir
Anda juga perlu ada kekuatan jiwa yang ampuh. Jangan sampai terleka untuk tidak berzikir. Ini Kerana kelekaan itu akan membuatkan anda sama-sama larut dan gagal mengawal emosi sabar. Amalkan membaca istighfar, doa al Mathurat, surah-surah pilihan serta konsisten solat awal waktu dan tambahan solat sunat. Ini benteng kekuatan jiwa.
Sokongan padu suami isteri
Jika yang berhadapan masalah nyanyuk ini adalah ibu atau ayah mentua anda, terima saja hakikat itu. Jangan merungut kerana tanpa mereka tiadalah pasangan anda itu. Tapi dalam hal ini, pasangan andalah kena ambil peranan utama. Terangkan juga apa yang anda rasa sepanjang menjaga ibu atau ayah mentua yang nyanyuk itu.
Biar mereka tahu apa yang anda lalui. Walaupun kadangkala tidak berjumpa jalan penyelesaian, sekurang-kurangnya suami atau isteri faham isi hati anda. Kelak, bolehlah sama-sama berusaha mencari jalan penyelesaian, walaupun ia akan ambil masa yang panjang.
Sumber: Petuaibu.com
The post 5 Tip Berguna Untuk Anda Hadapi Mak Ayah Yang Nyanyuk appeared first on Aliff Channel.
0 comments:
Post a Comment