Artikel Asal Dari Majalah InTrend
Penulis: Afiza Kamarulzaman
Gambar: Instagram ctdk / Official Simply Siti
BELIAU tidaklah terlalu obses tentang kecantikan tetapi sangat mengambil berat perihal cantik yang baginya sangat penting untuk dimulakan daripada penjagaan dalaman. Sementelah, punya suami yang juga menitiberatkan hal kesihatan diri, membuatkan Dato’ Siti sukar untuk culas dalam memastikan gaya hidup sihat menjadi amalan mereka berdua.
Bergelar pengasas kepada jenama kosmetik terkenal negara juga menuntut beliau untuk ambil tahu tentang hal ehwal kecantikan agar tidak nanti orang menjuih bibir apabila dikatakan dialah pemilih jenama SimplySiti itu. Walaupun Dato’ Siti tidaklah dikurniakan kecantikan bak Ratu Dunia, tetapi sesiapa sahaja yang mengenalinya pasti memuji keperibadiannya yang murni dan perilaku yang sentiasa menyenangkan sesiapa sahaja yang memandang.
Dari situ, maka terlihatlah betapa sempurnanya kecantikan Dato’ Siti Nurhaliza yang tidak hanya dinilai dilihat dek wajah semata. Ayuh, meresapi nilai dan rutin cantik penghibur nombor satu negara ini, bagaimana pengorbanannya dalam ‘meredakan’ kenaikan berat badannya demi terus memburu impian bergelar ibu satu hari nanti. Doa kami di InTrend, semoga Allah makbulkan doanya yang satu itu.
Apakah definisi cantik bagi seorang yang bernama Siti Nurhaliza?
Cantik itu bagi saya adalah kesamaan antara cantik dalaman dan luaran. Bunyinya mungkin klise tetapi itulah hakikatnya. Cantik bukan hanya perkara yang dilihat dari luaran sahaja tetapi apabila cantik dalaman (penjagaan kesihatan) terpelihara, bermakna hidup kita akan rasa sangat berharga. Langsung, kecantikan luaran terpancar darinya.
Bagaimanakah rutin penjagaan kulit dan rambut Dato’ Siti?
Saya dan suami mengamalkan pengambilan Vitamin C (menerusi doktor atau pembantu bertauliah yang akan datang ke rumah) dan mengambil suplemen yang bersesuaian untuk kesihatan kulit dan rambut.
Satu perkara menarik tentang kami suami isteri, kami sama-sama menitikberatkan soal kecantikan dan kesihatan. Dan kebanyakan aktiviti kesihatan dan penjagaan diri itu kami lakukan bersama-sama.
Dato’ Siti punya berat badan yang cepat naik, bukan? Bagaimana memastikan tubuh sentiasa dalam bentuk yang diimpikan?
Saya tidak nafikan, sebagai seorang wanita yang sedang dalam melalui proses ‘family planning’, badan akan mengalami perubahan (berat badan naik) yang mendadak. Namun ini adalah harapan dan mpian saya dan saya tidak boleh berhenti hanya kerana tidak mahu ‘berisi’. Walau bagaimanapun, itu tidak pula menjadikan alasan untuk saya tidak melakukan apa-apa.
Pada masa yang sama, saya tetap bersenam. Saya dan suami akan ke gim setiap pagi dan meluangkan sekurang-kurangnya satu jam lebih di situ. Selain itu, saya juga mengambil makanan yang sihat. Jika rajin dan punya masa terluang, saya akan masak menu sihat saya sendiri atau pembantu akan sediakan.
Sekarang ini saya mengamalkan vision body yang saya amalkan sejak akhir 2016. Saya juga telah dilantik menjadi dutanya. Ini adalah satu kaedah senaman yang menyihatkan, mudah dan yang paling bagusnya, sambil bersenam dengannya, saya boleh melakukan perkara lain pada masa yang sama. Pastinya ia tidak membosankan!
Berapa kerap Dato’ Siti melakukan rawatan spa dan facial? Bagaimana menguruskan masa untuk ‘lari’ memanjakan diri sesekali dalam kesibukan waktu?
Jika saya tidak sibuk, saya akan ke spa sekurang-kurangnya dua kali sebulan kecuali jika waktu saya terbatas. Saya akan membuat rawatan muka dan urut badan.
Itu antara aktiviti cantik yang sangat saya gemari, hatta ke ke luar negara atas urusan persembahan sekalipun, jika ada waktu terluang, saya akan ke spa terutamanya di hotel tempat saya menginap. Kata orang, sambil menyelam minum air. Sambil bekerja, sambil merehatkan diri.
Apakah masalah kecantikan terbesar yang sering dihadapi?
Saya seorang yang mempunyai rangka badan yang besar. Jika naik sedikit pun akan kelihatan berisinya. Namun saya akan memastikan bentuk badan saya terkawal dengan mengamalkan senaman bersama vision body buat masa ini dan menjadikan bersenam sebagai gaya hidup sihat saya. Dan, untungnya suami turut bersama dalam melakukan aktiviti itu, jadi kita lebih bersemangat!
Sebagai pemilik jenama kosmetik SimplySiti, sukarkah untuk Dato’ Siti menjaga imej selari dengan gelaran yang dibawa?
Saya memang menitikberatkan soal kecantikan bukan hanya kerana saya mempunyai perniagaan dalam bidang ini tetapi kerana saya seorang wanita dan public figure.
Saya tidak hanya fokus kepada satu-satu bahagian sahaja kerana bagi saya kecantikan dan sihat itu harus datang seiring, luar dan dalam. Saya suka berkongsi apa yang terbaik daripada jenama SimplySiti di Instagram, sewaktu sesi meet & greet ataupun sekarang ini di live Instagram saya juga.
Apa yang terdetik di fikiran Dato’ ketika pertama kali Dato’ mahu mencipta jenama SimpySiti ini? Kenapa memilih bidang kecantikan?
Saya punya pengalaman menjadi duta produk kecantikan dan kesihatan sebelum ini dan semua orang tahu saya sangat menyukai produk sebegini. Apabila ada peluang dan bekerjasama dengan orang yang berpengalaman, saya rasa tidak salah untuk saya mengeluarkan jenama kecantikan sendiri. Saya ingin berkongsi dengan para pengguna dan peminat saya mengenai apa yang saya pakai.
Dato’ Siti antara selebriti yang ‘gila selfie’, adakah itu caranya Dato’ menghargai kecantikan diri?
Saya hanya suka swafoto (selfie) untuk update kepada pengikut atau peminat di Instagram saya. Dan saya juga menjadi duta Vivo V5 yang diakui mempunyai kamera selfie yang sangat cantik hasil gambarnya. Setiap kali selepas bersolek dan mahu ke acara, biasanya saya akan berswafoto untuk tatapan peminat.
Ramai jurusolek teringin untuk menyentuh wajah Dato’ Siti, jurusolek bagaimana sebenarnya yang Dato’ suka untuk bekerjasama?
Saya akui setiap artis ada jurusolek kegemaran mereka sendiri dan saya juga faham bahawa pengalaman bekerjasama akan memudahkan seseorang jurusolek itu memahami wajah artis tersebut.
Biasanya, jurusolek yang sudah biasa bersama saya, sudah memahami dan tahu permainan warna dan cara solekan mengikut kesesuaian acara membuatkan saya selesa untuk terus bekerajsama dengannya.
Adakah Dato’ Siti mengamalkan petua kecantikan tradisional di rumah?
Saya mencuba juga beberapa tahun kebelakangan ini untuk makan jamu atau minum air jamu, alhamdulillah nampak perubahannya terutama kesihatan dalaman kita yang lebih cergas dan kuat.
Apa tips kecantikan yang ingin Dato’ Siti kongsi sama pembaca InTrend?
Sesuatu yang saya pasti baik untuk kecantikan dan kesihatan kita adalah, amalkan minum air masak, tidur harus cukup dan jangan malas untuk bersenam.
Untuk kecantikan, Dato’ Siti banyak berhabis untuk bahagian mana? Kulit ke rambut atau alat solek?
Saya tidaklah terlalu berhabis tetapi saya dahulukan apa yang perlu. Saya memahami bahagian mana yang saya perlu utamakan, dan selalunya saya lakukan di rumah seperti berurut dan ke gim. Yang lain-lain saya buat rawatan di spa.
Setuju tidak kalau ada yang kata kecantikan itu boleh dimiliki jika kita punya wang?
Ada benar dan tidaknya. Secara tradisional juga sangat banyak petua kalau mahu kita amalkan tanpa perlu mengeluarkan wang yang banyak. Jika ada wang yang lebih, mungkin kita punya pilihan untuk menggunakan teknologi moden yang lebih mudah untuk dipraktikkan. Apa pun, pilihlah yang bersesuaian dengan diri kita.
Apakah ‘item’ cantik yang mesti dibawa jika keluar rumah?
Cukup dengan bedak kompak SimplySiti, blusher dan lip gloss.
Siapa wanita paling cantik di mata Dato’ Siti?
Semua wanita itu cantik dan ditambah pula dengan kecantikan dari dalam. Wanita ada kelembutan dan keayuan mereka yang semula jadi.
Dato’ K selalu memuji Dato’ Siti pada bahagian mana?
Biarlah rahsia... hahaha. Suami kenalah puji isteri, kan? Baru bahagia rumahtangga. Hahaha...
Tidakkah Dato’ Siti berasa penat untuk sentiasa tampil cantik di depan khalayak?
Ada kalanya memang penat kerana harus mengambil masa lama untuk bersiap tetapi saya sedar bahawa penampilan diri itu penting. Apabila sudah lama dalam bidang ini, saya sudah terbiasa dengan rutin itu, ia sebahagian daripada kerja.
Bagaimana Dato’ Siti melihat diri Dato’ pada 30 tahun yang akan datang? Adakah Dato’ rasa Dato’ perlukan bantuan cantik alternatif seperti botoks atau apa-apa suntikan untuk mengekalkan kecantikan diri?
Pada waktu itu, saya berusia 68 tahun jika dipanjangkan usia. Saya harap saya akan kekal sihat, dijauhkan daripada penyakit kronik. Pada masa itu kesihatan adalah keutamaan saya.
Dato’ Siti dan kecantikan umpama...?
Sahabat baik, sukar dipisahkan.
0 comments:
Post a Comment