loading...

Monday 15 January 2018

Tiada Tawaran Berlakon, Raja Afiq Jual Roti Jala

Raja Afiq mendakwa, pelakon yang mencipta nama menerusi drama rantaian Sayangku Kapten Mukhriz terpaksa berniaga roti jala dan brownies untuk menampung hidup selepas tidak lagi menerima tawaran berlakon gara-gara terkait isu menghamilkan seorang gadis hingga melahirkan bayi hasil hubungan sulit.

Sejak gosip itu bertebaran hampir tiga bulan lalu, tawaran berlakon mula menjauhi apabila namanya digugurkan pada saat akhir dan sehingga kini memaksanya mencari sumber pendapatan lain untuk menanggung keluarga.

“Saya tidak malu menjual roti jala dan brownies di gerai untuk menampung hidup. Saya juga menerima tempahan di laman sosial dan sanggup menghantar sendiri kepada pelanggan.

“Alhamdulillah, biarpun tidak banyak, sekurang-kurangnya ada rezeki yang masuk. Tiada guna saya terus menyalahkan takdir yang tertulis.

“Saya harus bangkit demi keluarga. Menangis air mata darah sekalipun, saya harus meneruskan hidup. Saya bukan orang senang, selain turut menanggung keluarga.

“Apa yang akan mereka makan jika saya terus meratapi nasib? Komitmen lain seperti kereta dan rumah juga harus dibayar,” katanya dalam nada hiba.

Selama ini, dia mengambil pendekatan berdiam diri kerana tidak mahu melayan isu panas yang tidak mempunyai kaitan dengannya.

“Tidak sangka tindakan itu membuatkan saya menjadi mangsa hingga kerjaya lakonan hampir terkubur. Saya tidak tahu apa salah dan silap saya.

“Gosip itu terlalu kejam hingga ada yang menganggap, saya berperangai buruk seperti itu,” katanya.

Doa orang teraniaya pasti akan dimakbulkan, Raja Afiq tidak takut dengan bayang-bayangnya sendiri kerana tidak bersalah dan berserahkan urusan itu kepada Allah SWT.

“Alhamdulillah, akhirnya gadis itu membuat pengakuan bayi yang dikandungnya bukan hasil hubungan dengan artis.

“Saya bersyukur Allah tunjukkan jalan yang sebenar. Tidak adil untuk terus meletakkan hukuman kepada saya dan rakan artis lain yang namanya turut dipalit sama. Ia ibarat penganiayaan apabila periuk nasi saya ditabur pasir,” katanya.

Sumber: Bharian.com.my

The post Tiada Tawaran Berlakon, Raja Afiq Jual Roti Jala appeared first on Aliff Channel.

0 comments:

Post a Comment

loading...