Jika sebelum ini, Program Istiqamah Subuh Berjemaah 40 Hari, Nur As-Sa’adah, Kampung Pengkalan Batu pernah anugerahkan 40 buah motosikal. bernilai RM20,000 kepada anak kariah.
Sekali lagi, masjid ini menarik tumpuan apabila menawarkan hadiah motosikal pula dalam usaha mengimarahkan masjid.
Pengerusi masjid, Datuk Amzah Osman berkata, sebanyak empat Modenas Kriss MR3 berharga RM16,000 akan menjadi milik jemaah yang layak.
Katanya, syaratnya jemaah dipilih perlu memenangi empat kategori yang dipertandingkan dalam Program Istiqamah Subuh dan Isyak Berjemaah 40 Hari bermula 1 Mac hingga 9 April ini.
“Kategori pertama bagi program mengimarah masjid ini khusus anak kariah, kedua kategori terbuka kepada penduduk luar manakala kategori tiga dan empat adalah untuk pegawai syarak, jawatankuasa dan pekerja masjid serta kaum wanita.
“Biarpun belum dimulakan setakat ini kita sudah mendapat lebih 30 penyertaan bagi keempat-empat kategori yang terbuka kepada semua umat Islam berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen motosikal,” katanya dihubungi Harian Metro.
Menurutnya, bagi meneruskan program itu, peserta diwajibkan menunaikan solat Subuh dan Isyak di masjid selama 40 hari berturut-turut.
“Selain itu mereka juga boleh mendapatkan mata tambahan jika berjemaah untuk semua waktu atau program lain anjuran masjid yang akan meningkatkan peluang kemenangan mereka,” katanya.
Amzah berkata, beliau teruja apabila semakin hari ramai ahli kariah datang ke masjid untuk menunaikan solat fardu.
“Niat saya bersama-sama ahli jawatankuasa masjid hanyalah untuk penuhkan masjid. Alhamdulillah semakin hari semakin ramai orang kampung yang berjemaah di masjid.
“Mereka datang bukan sebab motosikal kerana bukan semua akan dapat dan program juga baru diuar-uarkan,” katanya.
Untuk makluman, empat motosikal yang masing-masing berharga RM4,000 itu disumbangkan oleh individu yang bermurah hati dan tidak menggunakan sebarang dana tabung masjid.
The post Ganjaran Motosikal 40 Hari Solat Subuh, Isyak Berjemaah Berturut-turut appeared first on Aliff Channel.
0 comments:
Post a Comment